Saturday, July 10, 2010

TRANSFORMASI PENDIDIKAN MALAYSIA


Proses Transformasi Pendidikan 

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengumumkan melalui akhbar bahawa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia  yang lalu , sedang dalam proses malaksanakan transformasi pendidikan bagi pentaksiran untuk mengurangkan masalah sekolah terlalu tertumpu kepada peperiksaan. Pihak KPM juga dalam tindakan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan dirintiskan di Kelas Prasekolah dan Tahun 1 pada bulan Mac hingga Jun 2009 di 500 buah sekolah.
Kurikulum Berasaskan Standard akan memberi penekanan kepada penguasaan literasi 4M, Kemahiran Asas ICT, Perkembangan Fizikal, Kognitif, Sikap dan Nilai bagi Tahap 1 manakala Tahap II, penekanan kurikulum diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M serta menguasai kemahiran yang lebih kompleks, perkembangan fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan bidang ilmu seperti yang terangkum dalam 6 tunjang kurikulum.
Bagi pentaksiran, pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah di mana pihak sekolah perlu merancang, membina, mentadbir, memeriksa dan menyediakan laporan mengenai pentaksiran dalam bentuk formatif dan sumatif. Pentaksiran Psikometrik dan aktiviti Jasmani dan Kokurikulum akan diperkenalkan juga. Lembaga Peperiksaan Malaysia masih mengendalikan sebahagian dari peperiksaan secara pusat bagi peperiksaan UPSR, PMR, SPM, SPMU, STAM dan SVM.
Persolannya, adakah semua guru telah dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang secukupnya dalam mentadbir Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS). Di negara-negara barat seperti UK kaedah ini telah lama digunapakai yang mana PBS adalah menjadi kayu ukur utama dalam menilai pencapaian dan kemajuan murid.  Perubahan yang baik tidak akan menampakkan kebaikannya jika pelaksanaannya porak peranda. Banyak perkara di Malaysia yang dirancang dengan begitu teliti dan murni tetapi banyak juga yang 'lemau' akibat pelaksanaan seperti melepaskan batuk di tangga. Dalam soal ini, guru-guru sebagai pelaksana transformasi perlulah lebih terbuka dan beriltizam dalam menerima perubahan ini agar pelaksanaannya menjadi contoh yang terbaik. 

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template