Saturday, July 10, 2010

BERITA PEMBESTARIAN DI TUTOR UTUSAN

Pengetua, guru besar ikuti K3PS



ALIMUDDIN Mohd. Dom (lima dari kiri) mendengar pandangan salah seorang guru pada Majlis Penghargaan Sekolah Bestari Luar Bandar di Putrajaya baru-baru ini.





SERAMAI 35 pengetua dan guru besar sekolah luar bandar mengikuti kursus pengurusan perubahan pembestarian sekolah (K3PS) sebagai syarat pentauliah sekolah bestari.
Program anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan Multimedia Development Corporation (MDeC) dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia.
Sepanjang Program empat hari, pengetua dan guru besar didedahkan dengan aspek pengurusan dan pentadbiran abad ke-21, isu dan cabaran sekolah bestari, pengintegrasian pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekolah bestari serta amalan terbaik berdasarkan Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS).
Mereka turut dibawa melawat ke sekolah showcase sekolah bestari luar bandar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Ketua Jabatan Sekolah Bestari MDeC, Dr Norrizan Razali berkata, pengetua dan guru besar perlu faham aspek pengurusan dan pentadbiran abad ke-21.


TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (kiri) berbincang hala tuju program pembestarian sekolah luar bandar dengan Dr Norrizan Razali di Cyberjaya baru-baru ini.





Dalam sesi taklimatnya selama setengah jam, beliau menambah, SSQS telah memasuki fasa keempat dan sudah tiba masanya untuk menguar-uarkan program pembestarian sekolah kepada masyarakat.
Manakala Pengetua dan guru besar yang ditemui selepas berkursus di Hotel Marriot Putrajaya baru-baru ini menyatakan rasa puas hati dengan pengisian dan perjalanan program.
Sementara itu pada majlis penutup, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, Program Pembestarian Sekolah Luar Bandar adalah program yang mengguna pakai model perlaksanaan 88 sekolah bestari penanda aras yang disesuaikan untuk perlaksanaan sekolah luar bandar.
Menurut beliau, Kementerian Pelajaran memutuskan supaya MDeC mempercepatkan proses pembestarian sekolah dengan memberi tumpuan kepada 50 sekolah luar bandar secara berperingkat bermula dengan 15 sekolah pada 2009 (Fasa Pertama) dan 35 buah sekolah pada tahun ini (Fasa Kedua).
Jelasnya, sekolah luar bandar yang dipilih adalah dari kategori sekolah menengah harian, sekolah teknik vokasional, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah pendidikan khas, sekolah felda dan sekolah orang asli/penan.
``Bagi memastikan perlaksanaan yang berkesan, sekolah yang dipilih perlu mempunyai kemudahan asas bekalan elektrik 24 jam, mempunyai infrastruktur asas ICT seperti makmal komputer, Pusat Akses Sekolah, mendapat kemudahan Schoolnet serta mencapai sekurang-kurangnya tahap penarafan tiga bitang berdasarkan SSQS,'' katanya.
Jelasnya, 35 dari 50 buah sekolah yang terpilih untuk tahun ini adalah sekolah-sekolah luar bandar yang akan dinaik taraf kepada sekolah bestari luar bandar penanda aras sepertimana yang telah dilaksanakan kepada 15 buah sekolah dalam Fasa Pertama pada 2009.
``Para guru akan didedahkan dengan amalan terbaik dalam pengintegrasian ICT dalam P&P melalui bimbingan dan pemantauan berkala ke sekolah oleh pegawai penyelaras bestari di Jabatan Pelajaran Negeri serta mengadakan elemen inovasi dalam proses penyampaian pengajaran dengan memperkenalkan alat-alat bantu mengajar yang inovatif untuk P&P,'' ujar beliau.
Selain itu, sekolah-sekolah ini juga akan didedahkan dengan program Briged Bestari iaitu para pelajar akan membantu sekolah sebagai ejen perubahan meningkatkan penggunaan ICT dalam kalangan pelajar serta guru.
Beliau memberitahu, pencapaian sekolah dalam membudayakan ICT akan diukur dan dinaik taraf dengan menggunakan SSQS bagi mengetahui keduduakn sekolah sama ada berada di tahap tiga, empat atau lima bintang pada Ogos tahun ini.
``Melalui penarafan SSQS, pihak KPM dan sekolah akan dapat mengenal pasti di mana kelemahan yang perlu diambil tindakan segera.
``Melaluinya juga, amalan terbaik dalam P&P serta aspek pengurusan dan pentadbiran akan meningkatkan kualiti dan keupayaan guru-guru ataupun pentadbir sekolah seterusnya akan dapat dikongsi dengan guru serta pentadbir sekolah-sekolah berhampiran,'' jelasnya.
Alimuddin berkata, pembestarian sekolah akan berlaku dengan lebih cepat dan lebih kos efektif dengan perlaksanaan strategi berkenaan dan melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan di sekolah-sekolah ini juga diharap akan terpilih menjadi salah satu Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template