Monday, February 27, 2012

TRANSFORMASI MINDA GURU DALAM PEMBESTARIAN SEKOLAH

Salam bersua kembali dalam arena blogging ini. Setahun saya menyepi dalam menitipkan apa jua isu pembestarian. Keadaan yang begitu rigid dengan tugas di sekolah dan juga  pengajian sarjana membuatkan rutin menulis blog terarah kepada tesis yang perlu disiapkan. Alhamdulillah pengajian dapat ditamatkan walaupun banyak dugaan yang perlu ditempuhi. Bekerja sambil belajar ni perlu kuat semangat. Bak kata pepatah; di mana ada kemahuan di situ ada jalan. 

Berbalik pada kisah pembestarian. Program pembestarian kini semakin rancak bagi memastikan semua sekolah mencapai taraf lima bintang. Infrastruktur ICT yang canggih merupakan gambaran awal yang terakam apabila sesuatu sekolah itu melalui proses pembestarian. Kita merasa megah apabila mencapai taraf lima bintang dalam penilaian SSQS tetapi sejauh manakah lima bintang itu dapat dikekalkan. Adakah sekadar hanya meletakkan rating tertinggi dalam setiap item soal selidik yang diberi? Tepuk dada tanyalah selera. 

Kejayaan pembestarian sekolah bukan terletak kepada kecanggihan infrastruktur ICT semata. Faktor manusia menjadi tunggak utama dalam kejayaan program pembestarian; fokusnya GURU. Perubahan dan sikap serta budaya kerja GURU perlu ada penghijrahan selaras dengan zaman yang kita lalui. Transformasi minda perlu berlaku, GURU perlu keluar dari zon selesa dan masuk ke zon yang baru. Dalam zon yang baru belajarlah mencari keselesaannya agar minda kita boleh menerima perubahan dengan sendiri tanpa paksaan. Konflik minda juga dapat dikurangkan. Stres menukar budaya kerja dari manual kepada ICT dapat dihindarkan. Apabila minda dapat menerima transformasi ini, amalan yang dilakukan akan menjadi budaya seterusnya kesahan dan kebolehpercayaan  data soal selidik SSQS dapat ditingkatkan. 

Tidak guna kita menongkah arus, sedangkan perubahan zamannya begitu. Tidak usah kita biarkan minda kita menjadi dinasour yang tidak boleh bertahan dengan perubahan iklim sedangkan kita tetap ingin berada dalam bidang pendidikan yang kerap berhadapan dengan perubahan iklim maklumat dan teknologi baru.

Kepada semua guru belajarlah terima perubahan kerana pelajar kita hari ini telah berubah zaman dan gaya pembelajarannya. Bersikap adillah kepada pelajar yang inginkan pembelajaran yang lebih realistik dan mencabar. Bekerja dan  berkomuniksilah dengan cara mereka serta bimbinglah mereka dengan pengalaman dan kedewasaan kita kerana pelajar kita ada yamg belum mengerti kehidupan. Apabila mereka berjaya, dengan senang hati mereka akan mengatakan....

"TEACHER YOU ARE THE BEST!"

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template